Skip to main content

KEJOHANAN TAEKWONDO JEMPUTAN HULU SELANGOR KE-2/2010

Pada 4 Disember, 2010 saya berpeluang mengikuti anak sulung (Nurul Hanisah) menyertai Pertandingan Taekwondo Jemputan Kali Ke-2/2010 bertempat di Dewan Bukit Sentosa, Hulu Selangor. Kami memulakan perjalanan dari Pekan Semerah menaiki bas yang disediakan Kelab Taekwondo Cemerlang, Batu Pahat kira-kira pukul 1.30 pagi dan sampai di Dewan Bukit Sentosa pada pukul 8.00 pagi.
Kejohanan ini disertai oleh beberapa pasukan antaranya Taekowondo Kedah, Taekwondo Terengganu, Kelab Taekwondo TYC, Kelab Taekwondo Cemerlang, Taekwondo Hulu Selangor dan beberapa kelab lagi. Inilah pertama kali saya melihat sendiri pertandingan taekwondo secara langsung tanpa menggunakan saluran televisyen. Rasa teruja dengan pengalaman baru ini menyelubungi diri di samping tidak sabar melihat perlawanan yang melibatkan anak saya (Nurul Hanisah) dalam pertandingan tersebut.

Kemelut yang melanda kepimpinana sukan taekwondo Malaysia seolah tidak kelihatan langsung dan kejohanan ini berjalan secara profesional. Alhamdulillah setelah menunggu lebih kurang 7 jam, akhirnya anak saya mendapat gilirannya. Walaupun agak gugup kerana ini merupakan pengalaman pertama dalam pertandingan, Nurul Hanisah dapat menghadapi lawannya dengan baik apatah lagi lawannya itu telah mencapai tahap tali pinggang merah-hitam sedangkan Asyah (panggilan di rumah) hanya memiliki tali pinggang biru. Jelaslah kemahiran dan pengalaman memisahkan mereka berdua dan akhirnya kemenangan berpihak kepada lawannya itu.

Sebagai bapa, saya turut berasa terharu dengan keberanian Asyah menyertai kejohanan tersebut. Ibunya sendiri tidak sanggup melihat Asyah bertarung di gelanggang. Namun begitulah lumrah pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang kalah tidak semestinya terus kalah dan yang menang mesti terus berlatih untuk mengekalkan kecemerlangan diri di masa akan datang. Walaupun kalah, Asyah telah dianugerahkan pingat gangsa dan ini menjadi satu kebanggaan kepada kami sekeluarga.

Kejohanan tersebut diakhiri dengan penyampaian pingat dan piala kepada para pemenang. Tahniah kepada para pemenang dan semua para peserta yang menyertai kejohanan tersebut. Jadikanlah keberanian anda di gelanggang sebagai keberanian dalam mendepani cabaran hidup ini dengan lebih yakin dan cemerlang untuk diri dan negara. Kami bertolak dari Bukit Sentosa kira-kira 8.30 malam setelah selesai acara dan tiba di Semerah kira-kira pukul 3.30 pagi.

Oh, ya...mungkin ramai yang sakit perut dan cirit birit sama ada dalam perjalanan pulang atau telah sampai di rumah. Kami sekeluarga juga tidak terkecuali. Tak tahulah di mana silapnya. Siapa yang kena musibah yang sama, sila angkat tangan....:)

Comments

Popular posts from this blog

ALHAMDULILLAH.

Semalam, terjadi peristiwa yang amat mencemaskan bagi diriku dan keluarga. Hampir berlaku kebakaran apabila kuali yang diletakkan di atas dapur gas terbakar kerana kesilapanku tidak mematikan api dapur tersebut. Ketika itu aku sedang marah dan emosiku terganggu kerana berlaku keadaan yang tidak boleh dinyatakan. Api yang mula membesar terus membakar kuali hinggalah aku terlihat api yang menjulang dan bau yang kurang enak seperti ada benda terbakar. Dalam keadaan cemas, aku segera mengalihkan kuali yang masih terbakar ke singki namun tindakan ku menjadi sia-sia kerana api yang membesar. Kuali tersebut jatuh di lantai berhampiran kabinet dapur dengan api yang masih membara. Alhamdulillah, aku Berjaya memadamkan api dengan mencampakkan pakaian basah dari mesin basuh ke dalam kuali tersebut. Walaupun api Berjaya dipadamkan, ia telah menimbulkan fobia kepada kami sekeluarga. Syukurlah dengan sedikit pengetahuan cara memadamkan api yang ku pelajari semasa ceramah Jabatan Bomba di sekolah dan

Tempat Jatuh Lagi Dikenang Inikan........

Alhamdulillah, setelah lama mencari untuk mengikuti perkembangan sekolah pertama aku ditugaskan; akhirnya pada hari ini aku ditemukan blog sekolah SK Bukit Kemandol (A), Klang . Masih terbayang ketika pertama kali aku diberitahu lokasi tempat bertugas, aku menyangka bahawa sekolah yang bakal ku mengajar ialah sebuah sekolah gred A memandangkan terdapat huruf (A) selepas nama sekolah. Almaklumlah, waktu itu aku masih lagi baru mengenal makna sebenar institusi pendidikan yang benama sekolah. Sebelum mendaftar diri, aku mencari lokasi sekolah tersebut. Amat mengejutkan kerana ia merupakan sebuah sekolah bagi masyarakat Orang Asli. Sangkaan ku selama ini meleset sama sekali. Namun aku redha dengan ketentuan-Nya. Melihatkan kemudahan perhubungan jalan untuk masuk ke kawasan sekolah amat mencabar kerana guru-guru terpaksa merentas jalan tanah merah yang licin ketika musim hujan dan adakalanya tergelincir bersama motosikal yang ditunggangi. Ketika aku mendaftar sebagai warga pendidik di sekol